Tuesday, 30 June 2020


YOUTH CATEGORY PEOPLE

Di bandar, terdapat golongan belia yang berada dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) serta perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Hal ini demikian kerana walaupun mereka mengalami kekurangan namun peranan mereka masih diperlukan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi seterusnya mengembangkan satu kawasan menjadi sebuah bandar yang maju. Golongan belia kategori ini juga telah mencipta pelbagai kejayaan sama ada peringkat domestik dan juga antarabangsa. Oleh itu, kerajaan juga turut menyediakan inisiatif kepada mereka dan salah satunya adalah penganjuran Kem Kepimpinan dan Transformasi Belia OKU Selangor 2019.
            
      Program yang dilaksanakan ini sebenarnya dapat membantu mencungkil bakat kepimpinan dalam diri belia itu sendiri serta meningkatkan semangat mereka untuk memberikan sumbangan kepada negara. Kem yang diadakan selama tiga hari sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan diri peserta yang terlibat dengan memberikan pelbagai latihan seterusnya memberikan pengalaman berharga dan boleh diterapkan ketika memasuki alam pekerjaan. Kem ini juga sebenarnya boleh membantu memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk melihat bahawa peranan belia kategori OKU juga penting dalam membantu masyarakat dan memajukan negara.



GOVERNMENT INIATIVE TO YOUTH

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan inisiatif untuk golongan belia menerusi program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Pengenalan pelan salah satu tujuannya adalah untuk mengatasi kebimbangan yang berkaitan dengan pengangguran belia. Menerusi pelan yang dilaksanakan ini telah menawarkan program subsidi upah sebanyak RM5 bilion, pengambilan pekerja bernilai RM1.5 bilion dan peningkatan kemahiran dalam kalangan belia berjumlah RM2 bilion. Kesemua dana ini adalah usaha kerajaan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan pekerjaan sekarang.

     Kerajaan juga bertindak memperuntukkan dana sebanyak RM600 sebulan kepada majikan yang bersedia memberikan peluang perantis kepada graduan dan lepasan sekolah setelah pasca pandemik COVID-19 yang melanda negara. kerajaan juga turut menjangkakan seramai 50,000 lepasan universiti akan memasuki alam pekerjaan. Sesungguhnya, Penjana telah mendatangkan manfaat kepada 200,000 belia di Malaysia.


YOUTH: INFRASTRUCTURE

Kerajaan kini giat dalam menyediakan kemudahan infrastruktur kepada golongan belia. Salah satu infrastruktur yang disediakan adalah gelanggang futsalyang sering menjadi tarikan golongan belia untuk bersukan. Penyediaan gelanggang futsal adalah untuk menggalakan para belia supaya aktif bersukan di samping dapat memerikan kecergasan kepada tubuh badan. Bukan itu sahaja, penyediaan kemudahan sukan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan belia daripada terjebak dengan gejala yang tidak berfaedah seperti bergaul dengan belia yang mempunyai perangai yang tidak baik.

      Sebenarnya, dengan penyediaan kemudahan sukan ini dapat mendorong belia untuk terlibat dengan sukan sehingga boleh membantu meningkatkan sukan negara. selain itu, apabila belia berfutsal secara tidak langsung boleh menyebabkan interaksi sosial berlaku seterusnya dapat mengumpul pelbagai kenalan. Golongan belia yang dibelenggu dengan tekanan juga dapat merehatkan minda dengan bersukan. Justeru, jelaslah bahawa dengan penyediaan infrastruktur sukan ini telah memberikan manfaat kepada golongan belia.


YOUTH CRIME IN THE CITY (Part II)

Golongan belia di bandar juga tidak akan terlepas apabila dikaitkan dengan jenayah seksual. Antara jenayah seksual yang membelengu segelintir golongan belia adalah rogol, pembuangan bayi dan hamil luar nikah. Kehidupan di bandar yang moden dan pelbagai kemudahan sosial telah menyebabkan segelintir belia mengambil peluang untuk melakukan jenayah seksual. Setiap tahun jenayah seksual berkenaan sering berlaku bukan sahaja melibatkan orang luar namun tidak ketinggalan dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

       Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, sebanyak 93.5% mangsa yang terlibat dengan jenayah sosial dipelopori oleh golongan belia. Kebanyakan mereka masih berada pada peringkat pengajian dan akibat terdorong hawa nafsu dan serakah orang luar menyebabkan diri mereka terjebak dengan jenayah sosial. Justeru itu, jenayah seksual dalam kalangan belia di bandar khususnya perlu ditangani dengan lebih tegas supaya mereka sedar bahawa jenayah tersebut boleh mencemarkan maruah diri, keluarga dan negara.

SUMBER: Ahmad.J., Ismail.N. & Nasir.N.N.A.M. Belia dan Isu Jenayah Masa Kini di Malaysia. Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.


YOUTH CRIME IN THE CITY (Part I)

Kes jenayah sering timbul terutama di bandar yang kebanyakan dilakukan oleh golongan belia. Hal ini demikian kerana golongan belia yang sering terlibat dalam jenayah adalah mereka yang menghadapi masalah kewangan dalam meneruskan kehidupan. Antara kes jenayah yang sering melibatkan golongan belia di bandar adalah ragut, pecah rumah, rompakan dan lain-lain. Jenayah ini dilakukan adalah disebabkan tekanan hidup yang dialami oleh segelintir belia seperti mempunyai hutang ataupun tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan dalam meneruskan kehidupan.

      Bukan itu sahaja, sesetengah belia yang masih berumur belasan tahun banyak terlibat dengan masalah juvenil dan ia semakin bertambah berdasarkan statistik tangkapan dalam kalangan pelajar telah merekodkan seramai 1,722 orang bagi tahun 2017. Kebanyakan belia yang melakukan jenayah juvenil menghadapi masalah yang melibatkan peranan ibu bapa, persekitaran dan pengaruh rakan sebaya. Oleh itu, jenayah juvenil di bandar yang berlaku kebanyakan melibatkan golongan belia yang masih bersekolah perlu ditangani dengan lebih serius.

SUMBER: Ahmad.J., Ismail.N. & Nasir.N.N.A.M. Belia dan Isu Jenayah Masa Kini di Malaysia. Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.


YOUTH MIGRATION

Penghijarahan belia dari luar bandar ke bandar merupakan fenomena yang sering berlaku. Golongan belia terutamanya sering berhijrah untuk mendapatkan pelbagai peluang dan kemudahan yang disediakan di bandar yang tidak ada di tempat mereka. Golongan belia berpendapat dengan penghijrahan yang mereka buat sedikit sebanyak dapat membantu mengubah nasib kehidupan mereka. Golongan belia mengambil peluang yang tersedia di bandar supaya dapat mengumpul pendapatan demi menyara kehidupan sedia ada agar lebih baik.

Walaupun golongan belia berhijrah ke bandar perlu menghadapi cabaran namun tawaran yang diberikan lebih lumayan asalkan mereka bijak menggunakannya ke arah kebaikan. Hakikatnya, penghijrahan belia ke bandar sebenarnya boleh membantu pembandaran yang sedia ada di kawasan tersebut. Justeru itu, kerajaan kini berusaha untuk menyediakan kemudahan yang sesuai untuk dinikmati golongan belia agar dapat menangani masalah penghijrahan penduduk dalam skala yang besar.



YOUTH CULTURE IN THE CITY (Part II)

Salah satu budaya yang diamalkan belia di bandar adalah budaya ketika berbelanja. Menurut Jannah et.al., budaya yang diamalkan ketika berbelanja terutana oleh golongan belia Melayu dilihat masih mengutamakan amalan berjimat-cermat serta masih terdapat diselitkan dengan unsur-unsur tradisonal walaupun mereka tinggal di kawasan bandar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden. Walau bagaimanapun, budaya ketika berbelanja sangat memberi cabaran kepada belia yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah disebabkan tidak mampu berbelanja semata-mata kerana kehendak peribadi. Terdapat segelintir belia yang mengamalkan budaya berbelanja secara berlebihan walaupun tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi disebabkan mengikut hawa nafsu.
            Corak pembelian yang berlebihan oleh belia turut dipengaruhi oleh persekitaran yang maju dan moden apabila tinggal di bandar. Budaya ini seharusnya tidak diamalkan disebabkan banyak keperluan lain yang perlu diutamakan bagi meneruskan kehidupan. Budaya perbelanjaan sebegini sebenarnya lebih mendorong belia untuk berhutang asalkan dapat memenuhi kehendak mereka yang ingin hidup selesa tanpa memikirkan akibat yang bakal dihadapi kelak. Secara keseluruhannya, belia yang bersikap sedemikian telah mencerminkan gaya hidup mereka yang ingin hidup selesa dan disegani orang lain.

SUMBER: Bukhari. N.J., Kim. K.H., Idris. A. & Md Yunus. M. 2020. Budaya dan Kesannya Ke Atas Perbelanjaan Belia Melayu Kuala Lumpur. Journal of Social Sciences and Humanities 17(4): 9-26.


YOUTH CULTURE IN THE CITY (Part I)

    Budaya golongan belia pada abad 21 kini terutama yang tinggal di bandar banyak dipengaruhi oleh perkembangan teknologi yang semakin pesat. Hal ini demikian kerana perkembangan teknologi iaitu Internet telah menyebabkan golongan belia terpengaruh dengan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tik Tok dan lain-lain. Budaya yang ditunjukkan oleh belia dapat dibuktikan apabila saban hari pasti mereka tidak akan ketinggalan berkongsi corak kehidupan mereka yang akhirnya dapat menarik perhatian pengguna media sosial.

       Walau bagaimanapun, budaya ini ada mendatangkan impak positif dan negatif berdasarkan sikap penggunaannya. Pengamalan budaya ini sememangnya tidak dapat dihalang namun belia mestilah bijak menggunakannya untuk kebaikan serta tidak menggunakkannya untuk menindas orang lain. selain itu, Sebenarnya, budaya ini jika tidak diamalkan dengan etika yang betul dapat menghakis nilai-nilai murni seperti lebih suka memuat turun video kejadian yang berlaku di depan mata berbanding memberikan pertolongan yang sewajarnya. Kesimpulannya, budaya yang ditunjukkan ini boleh mencerminkan sikap individu itu sendiri dan seharusnya tidak dijadikan contoh kepada generasi yang akan datang.


Monday, 29 June 2020


“Profesional Training and Education for Growing Entrepreneurs –PROTEGE”

Program Training and Education for Growing Entrepreneurs merupakan salah satu program dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan terutama dalam kalangan belia. Sebahagian besar program ini lebih tertumpu kepada graduan lepasan universiti yang baharu serta terdiri daripada kalangan belia dengan memberikan pelbagai info terkini berkaitan persekitaran pekerjaan yang sebenar. Antara manfaat yang boleh diperoleh golongan belia adalah dapat meningkatkan kemahiran dalam diri belia sendiri seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi yang akhirnya memajukan kawasan tersebut. PROTEGE ini juga turut mengutamakan belia serta terhad kepada golongan yang berpendapatan rendah sahaja. Secara keseluruhannya, PROTEGE merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu golongan belia di Malaysia.

SUMBER: Junaidi Mansor & Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim. 2020. Cabaran dan Strategi Pasca-Pandemik Untuk Belia. Kertas Kerja 5/20: Khazanah Research Institute.

YOUTH: JOB OPPORTUNITIES

Pertambahan golongan belia yang semakin pesat khususnya di bandar telah menyebabkan berlaku persaingan dalam mendapatkan pekerjaan. Hal ini telah menyebabkan masalah pengangguran semakin bertambah dan berlaku lambakan penganggur. Tambahan pula, dengan munculnya pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan pengangguran bertambah akibat berlakunya pembuangan pekerja dalam skala yang besar disebabkan penutupan beberapa sektor selain bagi menangani kerugian yang dialami.

     Oleh hal demikian, kerajaan telah merancang pelbagai inisiatif bagi membantu penganggur terutama dalam kalangan belia bagi mendapatkan pekerjaan. Antara peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah peluang bekerja di pasar borong dengan tawaran gaji sebanyak RM2,400. Peluang kerja ini terbuka disebabkan pekerja asing sebelum ini tidak dapat bekerja akibat perintah berkurung. Selain itu, gelandangan yang kebanyakan turut dipelopori golongan belia juga berpeluang untuk bekerja setelah kerajaan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka dengan pelbagai kemudahan. Secara kesimpulannya, inisiatif ini merupakan salah satu usaha dan tanggungjawab kerajaan dalam membantu belia untuk bekerja seterusnya membantu memajukan pembandaran di Malaysia.


“BANDAR BELIA MALAYSIA”

      Bandar Belia Malaysia merupakan salah satu projek yang dibina yang akan menawarkan banyak manfaat kepada golongan belia. Projek ini dirancang bagi menyediakan pelbagai kemudahan supaya belia dapat menjalankan pelbagai aktiviti serta mengembangkan bakat dan potensi mereka. Pembinaan projek “Bandar Belia Malaysia” ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam usaha memenuhi kehendak golongan belia pada masa kini dan akan datang selain dapat membantu menangani masalah penghijarahan belia dari kawasan pinggir bandar ke bandar.

      Salah satu manfaat yang boleh dinikmati golongan belia melalui projek Bandar Belia Malaysia adalah berpeluang untuk mendapatkan rumah mampu milik yang merupakan salah satu keperluan penting. Persaingan dalam mendapatkan rumah dengan harga mampu milik terutama apabila tinggal di bandar sangat memberi cabaran. Justeru itu, dengan perlaksanaan projek ini diharap mampu membantu para belia dalam meneruskan kehidupan dengan baik seterusnya membantu meningkatkan pembandaran di kawasan tersebut.

Tuesday, 2 June 2020


YOUTH: COVID 19-GOVERNMENT ASSISTANCE

Fenomena Covid 19 telah menyebabkan rakyat menghadapi masalah terutama dari segi kewangan. Golongan belia juga tidak ketinggalan dan perlu menghadapi cabaran untuk meneruskan kehidupan semasa dalam pandemik Covid 19. Hal ini telah menyebabkan kerajaan Malaysia telah memberikan insentif kepada rakyat melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

            Antara bantuan yang diberikan oleh kerajaan melalui pakej ini kepada golongan belia adalah bantuan sebanyak RM200 kepada pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi. Selain itu, pemberian RM800 kepada 3 juta individu bujang yang berusia 21 tahun ke atas yang pendapatan bulanannya adalah sebanyak RM2000 dan ke bawah untuk membantu mereka berbelanja keperluan penting semasa dalam tempoh Covid 19. Seterusnya, bantuan sebanyak RM 500 juga diberikan kepada golongan belia yang berumur 21 tahun ke atas yang pendapatan bulanan melebihi RM2000 hingga RM4000 sahaja. Secara keseluruhannya, bantuan yang disalurkan ini telah menunjukkan bahawa kerajaan tidak meminggirkan golongan belia terjejas terutama yang tinggal di bandar besar.


YOUTH: UNEMPLOYED

Isu pengangguran dalam kalangan belia sering timbul saban tahun. Hal ini demikian kerana setiap tahun ramai graduan daripada pelbagai universiti telah menamatkan pengajian mereka namun perlu berdepan dengan cabaran dalam menghadapi pekerjaan. Terdapat sektor tertentu menawarkan peluang pekerjaan namun pemilihannya sangat ketat. Ada tawaran pekerjaan namun memerlukan tenaga fizikal dan mental yang kuat dan kurang mendapat tumpuan bagi segelintir golongan belia.

            Selain itu, golongan belia juga perlu menghadapi persaingan dengan pekerja asing kerana tawaran gaji yang diberikan kepada pekerja asing lebih murah serta dapat menjimatkan kos. Bukan itu sahaja, golongan belia susah mendapatkan kerja disebabkan pelbagai faktor salah satunya adalah sikap individu itu sendiri serta kurang kemahiran. Oleh itu, kerajaan kini telah berusaha untuk membantu para belia mendapatkan kerja bagi mengurangkan pengangguran kerana peranan belia dapat membantu membangunkan negara

YOUTH CATEGORY PEOPLE Di bandar, terdapat golongan belia yang berada dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) serta perlu diberikan per...