Wednesday, 20 May 2020


YOUTH: INCOME & EXPENSES (Part 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kita akan sambung penulisan seterusnya

Belia yang mempunyai pendapatan yang rendah melakukan perbelanjaan mengikut keutamaan yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, ada belia yang masih sanggup melaksanakan tanggungjawabnya dengan menyara keperluan yang dipeerlukan ibu bapa walaupun tinggal berjauhan. Hakikatnya, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi oleh mereka namun masih bersikap sewajarnya dan tidak mementingkan sikap individualistik seperti sesetengah penduduk lain.

      Perbelanjaan yang ditunjukkan oleh golongan belia dalam kalangan berpendapatan rendah juga sangat menitikberatkan manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri malahan individu lain turut merasai kesannya. Kesimpulannya, walaupun belia yang berpendapatan rendah ini perlu berbelanja secara berhemah namun mereka juga turut mementingkan perbelanjaan sosial yang membawa kegembiraan kepada kehidupan mereka.

Monday, 18 May 2020


YOUTH: INCOME & EXPENSES (Part 1)


Kehidupan belia di bandar tidak seindah yang diangankan. Terdapat belia terutama yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan kehidupan mereka kurang selesa. Golongan belia yang berpendapatan rendah terpaksa menanggung kos perbelanjaan bagi perjalanan harian yang tinggi di bandar di mana mereka terpaksa menghabiskan wang apabila menggunakan infrastruktur awam seperti teksi, pengangkutan monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT), Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) tol dan lain-lain yang tambangnya ada yang membebankan golongan belia.
            Golongan belia yang paling terkesan apabila tinggal di bandar adalah dalam kalangan etnik Melayu menyebabkan kuasa beli mereka lebih rendah berbanding etnik lain. Terdapat segelintir belia perlu merancang perbelanjaan harian berdasarkan pendapatan yang dimiliki serta memberi focus kepada keperluan penting untuk meneruskan kehidupan harian. Justeru itu, pendapatan yang tidak seimbang juga turut mempengaruhi perbelanjaan harian golongan belia di bandar.

Bukhari., N.J., Hyun. K.K., & Idris., A. 2018. Hubungan Antara Pendapatan dan Perbelanjaan Harian Bagi Golongan Belia Melayu di Kuala Lumpur. Journal of Social Science and Humanities. 13(2): 024-035.

Next post Part II…


YOUTH: OCCUPATION VS COMPETITION.

Sesetengah belia di bandar ada yang mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan terutama bagi belia yang mempunyai kelayakan dan kemahiran yang tinggi sehingga menyebabkan mereka ditawarkan pekerjaan tersebut. Walau bagaimanapun, ada belia yang berkelayakan juga namun perlu berdepan persaingan yang sengit dalam mendapatkan pekerjaan. Persaingan pekerjaan berlaku melibatkan pekerja asing dalam sektor tertentu yang memerlukan tenaga yang kuat serta perlu bekerja dalam keadaan tidak selesa yang kurang dipelopori penduduk tempatan sehingga ramai belia terpaksa menganggur. Pada baru-baru ini ketika musim Covid-19, kerajaan berinisiatif menawarkan pekerjaan kepada belia bagi dengan tawaran gaji yang lumayan bagi mereka yang ingin bekerja di pasar. Secara keseluruhannya, tawaran pekerjaan di Malaysia masih ada namun terhad kepada sektor tertentu yang kurang dijadikan pilihan para belia dan perspektif ini perlu diubah demi kelangsungan hidup di bandar dan meningkatkan taraf hidup.

Sunday, 17 May 2020

YOUTH:-My Home



Kebanyakan belia di bandar perlu menghadapi pelbagai isu antaranya adalah berkaitan ketidakcukupan infrastruktur iaitu berkaitan  dengan tempat tinggal. Golongan belia di bandar yang susah mendapatkan tempat tinggal disebabkan pelbagai faktor iaitu kos rumah yang mahal melebihi kemampuan mereka. Sekiranya terdapat rumah kos murah pula, belia ini perlu berdepan dengan banyak masalah antaranya adalah sistem keselamatan yang tidak terjamin serta persekitaran yang kurang baik kerana kebanyakan yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah banyak dimonopoli warga asing.

     Masalah perumahan yang membelenggu golongan belia di bandar menyebabkan kerajaan berinisiatif untuk membantu mereka dan salah satunya adalah dengan menerusi Bank Simpanan Nasional yang menawarkan Skim Perumahan Belia (SPB) 2020. Kerajaan Malaysia telah memperuntukan sebanyak RM6 billion untuk menyediakan rumah pertama kepada belia yang tinggal di bandar dengan syarat yang sesuai supaya golongan belia dapat memiliki kediaman sendiri.


       Bukan itu sahaja, golongan belia yang berada dalam golongan B40 juga berpeluang mempunyai rumah sendiri pada usia muda di bawah program 'Resindensi Prihatin' yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Oleh itu, inisiatif yang ditunjukkan oleh kerajaan telah memeperlihatkan bahawa golongan belia juga diberi perhatian untuk memastikan mereka hidup selesa dan sejahtera terutama apabila tinggal di bandar utama.


"COVID-19: Frontliner Youths"


Tahun 2020 menyaksikan sebanyak 187 negara telah dilanda pandemik Covid-19 sehingga kini telah mencatatkan 4,630,272 juta kematian. Malaysia juga turut mendapat tempiasnya apabila jumlah kes yang dicatatkan kini adalah sebanyak 6,894 orang dengan kadar kematian seramai 113 orang. Walau bagaimanapun, kini jumlah kes dijangkiti semakin berkurangan berbanding pada peringkat awal dengan bilangan oesakit sembuh juga semakin bertambah.
Hakikatnya, semasa menghadapi pandemik ini, kebanyakan petugas barisan hadapan terdiri dalam kalangan belia serta terlibat dalam pelbagai sektor sama ada kesihatan, keselamatan, kebersihan, kesukarelawan dan kemasyarakatan bertungkus-lumus membantu penduduk menghadapi wabak Covid-19. Antara belia yang dapat dilihat sebagai barisan hadapan adalah sekumpulan pelajar yang membantu dalam urusan penghantaran pulang pelajar yang terkandas di universiti. Terdapat juga golongan belia yang turut menggunakan platform media sosial untuk berkempen “stay at home” sebagai sokongan dan ingin sama-sama menyedarkan rakyat supaya mengikut arahan kerajaan. Hasil tinjauan yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia pada bulan Mac lalu telah menyaksikan sebanyak 95.8 peratus belia memberi sokongna terhadap inisiatif bantuan kerajaan dalam Langkah Tambahan Pakej Ransangan Ekonomi untuk membantu ekonomi belia yang terjejas. Justeru itu, penglibatan belia dalam membantu penduduk ketika pandemik Covid-19 sangat dialu-alukan dan ucapan penghargaan turut diberikan atas jasa yang dicurahkan dalam membantu memulihkan negara.

Friday, 15 May 2020

Selamat menyambut Hari Belia Negara kepada seluruh belia di Malaysia dengan bertemakan "Dekad Ini, Dekad Anda".

Tuesday, 12 May 2020

KECICIRAN PENDIDIKAN BAGI BELIA MISKIN BANDAR




Salah satu faktor utama keciciran pendidikan dalam kalangan belia miskin bandar adalah peranan ibu bapa. Segelintir belia yang keciciran pendidikan adalah disebabkan ibu bapa yang menjadikan pendidikan sebagai perkara yang tidak membawa kepentingan dalam kehidupan. Mereka lebih menganggap bekerja mencari wang ringgit sebagai keutamaan untuk membiayai kehidupan. Walau bagaimanapun, tidak kesemua ibu bapa yang taraf hidupnya kurang baik berfikiran sedemikian. Ada ibu bapa sentiasa berusaha mencari wang supaya anak mereka mendapatkan pendidikan yang lengkap demi membantu mengubah kehidupan sekeluarga ke arah yang lebih baik. Ibu bapa seperti ini sanggup berpenat lelah dan berkorban demi memastikan anak mereka menjadi insan yang berguna membantu keluarga dan negara serta keluar daripada kemiskinan. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa sangat mempengaruhi golongan belia dalam mendapatkan pendidikan dari peringkat bawah sehingga ke peringkat tinggi seterusnya keluar daripada kehidupan sebelumnya.

Tuesday, 5 May 2020


ISU BELIA

Pembandaran di Malaysia semakin bertambah pesat. Walau bagaimanapun, terdapat golongan tertentu tidak dapat mengikuti arus kemajuan yang berlaku dan salah satunya adalah belia. Kebanjiran belia ke bandar ada mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Golongan belia di bandar perlu menghadapi pelbagai cabaran dalam menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera. Terdapat segelintir belia perlu berdepan dengan ancaman kemiskinan terutama dalam meneruskan kehidupan di bandar. Golongan ini dipanggil belia miskin bandar dan mereka perlu berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya adalah cabaran dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan teknologi yang mengalami perubahan yang besar dan sentiasa berkembang maju.

            Belia miskin bandar wujud disebabkan pelbagai punca dan salah satu punca penting adalah disebabkan keciciran dalam mendapatkan pendidikan. Segelintir belia di bandar kini ada yang hanya menamatkan pelajaran sampai di peringkat Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) sahaja namun ada juga yang mlanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Sebenarnya, pendidikan sangat penting kepada belia kerana melalui pendidikan yang baik dapat membantu mereka dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan tawaran gaji yang lumayan. Golongan belia miskin bandar kebanyakan tidak mempunyai pendidikan yang tinggi menyebabkan mereka hanya mampu melakukan pekerjaan biasa sahaja selain mudah terdedah kepada risiko diberhentikan kerja yang akhirnya boleh membawa kepada pengangguran. Oleh itu, terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi penyumbang kepada masalah keciciran pelajaran dalam kalangan belia sehingga mereka perlu berdepan dengan kemiskinan. Walau bagaimanapun, kerajaan berusaha membantu golongan belia miskin bandar yang keciciran dalam pendidikan dengan menawarkan pelbagai bantuan dalam pelbagai bentuk demi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
Zin., M.A.M., Tajari., A., & Kamaruddin., S.H. (2019). Belia dan Cabaran Mendepani Isu Miskin Bandar di Malaysia.

Next Post....kita sambung balik

YOUTH CATEGORY PEOPLE Di bandar, terdapat golongan belia yang berada dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) serta perlu diberikan per...